Header Ads

5 Kelebihan dan Khasiat Sawi Yang Orang Ramai Perlu Tahu

Sayur sawi. Menyebutnya saja dah membuatkan Tok terbayang mee goreng dengan sawi yang berlambak-lambak. Sedap sungguh sampai terliur Tok membayangkannya. Sawi memang sayur yang popular kat Malaysia ni.

Umumnya, semua orang tahu sawi ni ada banyak adik-beradik. Tapi jenis sawi yang paling sedap dan menjadi pilihan Tok adalah sawi bunga atau ada juga panggil sawi hongkong. Batangnya rapuh dari hujung sampai lah ke pangkalnya. Teksturnya seakan-akan kailan, tapi tak mempunyai rasa pahit macam kailan.

Mengenali Taksonomi Tumbuhan : Sawi
Kingdom : Plantae
Sub Kingdom : Tracheobinonta
Super Divisio : Spermatophyta
Kelas : Magnoliophyta
Sub Kelas : Dileniidae
Familia : Brassicaceae
Genus : Brassica
Spesies : Brassica juncea L.

Jenis sawi yang ada di pasaran Malaysia :
1. Sawi Hijau (Brassica parachinensis) atau disebut choy sum
2. Sawi Putih (Brassica chinensis var) atau disebut pak choy
3. Sawi Mini (Brassica rapa chinensis) atau disebut bok choy
4. Sawi Bunga (Brassica rapa Cruciferae)

cara semai sawi dari keratan batang hidup

Kandungan Zat Dalam Sawi Yang Ramai Orang Tak Tahu

Kalau kamu orang sebelum ini tahu makan sawi saja, apakata kali ni kita pakat sama ambil kisah akan khasiat dan kebaikan sawi pada tubuh badan manusia pula. Apakah manfaat sayur sawi ini sebenarnya? Sawi ini kaya dengan vitamin apa? Bagus juga jika dapat tahu khasiat dan kelebihan sayur sawi yang sering kita makan hampir setiap hari ini.

1. Sawi sebagai sumber vitamin K yang penting untuk:
- membantu pembekuan darah
- penyakit serius seperti penyakit jantung & stroke
- menjaga tulang dari proses osteoporosis
-  menangani kanser
- mencegah penyakit alzheimer 
- mengawal kadar gula dalam darah

2. Sawi mengandungi kandungan vitamin A yang tinggi dan vitamin A ini bagus untuk menjaga kornea mata agar sentiasa sihat.

3. Sawi turut mempunyai kandungan vitamin C dalam pembentukan kolagen interselular. Vitamin ini sangat penting dalam penyembuhan luka serta turut dapat meningkatkan daya tahan tubuh untuk melawan infeksi dan stress.

4. Sawi juga mengandungi asid folik yang dapat mengatasi anemia (kurang darah merah) terutamanya di kalangan wanita hamil. 

5. Sawi kaya dengan serat dan mineral. Serat dan mineral ini dapat membantu menurunkan kadar kolesterol dan paras gula dalam darah. Ia juga dapat mencegah diabetes dan kanser kolon (barah usus).

Jadi antara khasiat yang tersembunyi di dalam sayur sawi ini adalah seperti Vitamin A, B, C, E, K, karbohidrat, protein, kalsium, kalium, zat besi dan magnesium. Sayur sawi ini juga boleh bantu lancarkan perjalanan darah dan mengurangkan tekanan di dalam injap jantung manusia.

Sawi Baik Untuk Ibu Berpantang dan Pesakit Kencing Manis

Sayur sawi sendiri terbukti baik digunakan untuk mengatasi pelbagai gangguan penyakit termasuk mengurangkan risiko kanser dan menyembuhkan luka dengan cepat. Disebabkan sayur sawi boleh bantu sembuhkan luka dengan cepat maka ia sering diamalkan sebagai salah satu menu untuk ibu berpantang lepas bersalin.

Para pesakit diabetes juga elok mengamalkan sayur sawi dalam diet makanan seharian kerana sayur sawi ini turut mengandungi antioksidan yang dikenal dengan alpha licoic acid yang bermanfaat untuk menjaga kadar gula darah. Malangnya, masih ramai yang tidak gemar untuk makan sayur sawi disebabkan rasanya yang agak sedikit pahit.

Sayur yang paling sering dijumpai di pasar dengan harga yang agak murah adalah sawi hijau dan juga sayur sawi putih. Manfaat sayur sawi putih juga hampir sama dengan jenis sawi yang lain. Sayur sawi ini bukan saja murah tapi mudah untuk dimasak dengan pelbagai jenis menu. Walaubagaimanapun, setakat yang Tok tahu, sawi putih bersifat sejuk. Jadi tak sesuai untuk ibu dalam pantang. 


Cara Mudah Tanam Sawi Belakang Rumah

Sayur sawi memang boleh dimasak dalam pelbagai cara. Jadi, kalau kita mempunyai pokok sawi sendiri di rumah, nescaya tak rugi pun tanah yang kita ada tu. Sayur sawi kalau di celur dengan bawang besar dan sedikit gula, kemudian cicah sambal belacan atau sambal picit, huh memang terangkat!

Soalan lazim tentang cara tanam pokok sawi
S: Berapa lama tempoh untuk benih sawi tadi bercambah? 
J: Antara tiga ke empat hari

S: Bila masa sesuai untuk pindah anak benih ke bekas yang lebih besar? 
J: Apabila tunas sawi mengeluarkan 4 ke 6 helai daun

S. Apa medium tanah yang sesuai digunakan pertumbuhan sawi yang sihat?
J: Tanah campuran


Pelbagai Resepi Sayur Sawi Yang Mudah dan Sedap

Resepi Sayur Sawi Tumis Simple & Resepi Sayur Sawi Tumis Telur

resepi sawi tumis ibu berpantang


Bahan-Bahan :
segenggam sawi (cuci bersih dan potong ikut saiz yang disukai)
2 ulas bawang merah (hiris nipis)
2 ulas bawang putih (di ketuk)
sedikit ikan bilis belah (cuci bersih & toskan)
1 biji telur
Garam dan air secukupnya
Minyak masak untuk menumis

Cara Memasak :
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali/periuk.
2. Tumis bawang merah, bawang putih dan ikan bilis sehingga naik bau.
3. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih.
4. Masukkan sayur sawi, biarkan seketika kemudian pecahkan telur ke dalamnya.
5. Bila telur dah masak, masukkan garam secukup rasa dan matikan api.


Resepi Sayur Sawi Hainan
Sayur sawi goreng ala-ala kantonis yang diadun dengan sos tiram memang sedap dan membangkit selera. Nak lagi sedap, tambahkan tauhu telur atau tauhu jepun ke dalamnya.

Bahan-bahan:
Sayur sawi jenis Pak Choy
Sedikit minyak untuk menumis
3 ulas bawang putih
1/4 cawan air
5 sudu makan sos tiram
sedikit gula pasir
sedikit air bancuhan tepung jagung (tak letak tak apa)

Cara-caranya:
1. Didihkan air di dalam periuk dan celur semua Bok Choy, susun atas pinggan
2. Tumis bawang putih dengan sedikit minyak masak. Masukkan sos tiram dan air.
3. Masukkan gula pasir secukup rasa, jika rasa kurang masin boleh tambah garam
4. Masukkan sedikit air bancuhan tepung jagung jika sukakan kuah yang pekat .
5. Tuang ke atas sayur dan siap untuk di makan.
Selain dua menu di atas, sawi juga sedap untuk dibuat Sayur Sawi Goreng dan juga Sup Sayur Sawi yang dipelbagaikan dengan meletakkan makanan laut, telur, fishball dan sebagainya. Terpulanglah pada citarasa masing-masing.

Rumusan akhir yang dapat Tok buat adalah, makanlah sayur berdaun hijau setiap hari untuk kesehatan usus dan mikro flora di dalam usus tu. Nak lagi molek, makanlah sayur-sayuran yang ditanam sendiri. itu lebih afdhol kata Pak Imam surau kuning hujung selekoh jalan masuk kampung Tok ni. Wassalam. 

Tiada ulasan

Jika ada apa-apa, jangan malu. Tinggalkan persoalan anda di ruangan komen okey (^_^)y
Tokwan is a very nice person. I swear.